Isnin, 9 Julai 2012

Artikel Kepenggunaan


Menyentuh isu kepenggunaan, masih ramai lagi dalam kalangan rakyat Malaysia yang masih kabur apa maksud kepenggunaan itu sendiri. Kepincangan pendapat mengenai perkara ini telah lama berlaku. Hal ini terjadi mungkin disebabkan oleh para pengguna itu sendiri yang tidak mahu mengambil tahu ataupun masih kurang pendedahan mengenai perkara ini. Istilah kepenggunaan merangkumi hak hak pengguna yang melindungi para pengguna sesuatu produk itu daripada ditipu oleh para peniaga.

Bagi meningkatkan tahap kesedaran masyarakat mengenai hak pengguna, kerajaan giat menjayakan kempen mengenai perkara tersebut. Sebagai contoh, iklan khidmat masyarakat mula mewarnai media cetak dan juga media elektronik. Ini merupakan medium utama bagi menyampaikan mesej yang cuba disampaikan kepada pengguna. Ia menjadi titik tolak dalam menyedarkan pengguna bahawa hak mereka sebagai pengguna sentiasa dipelihara.

Isu ini kian hebat diperdebatkan bukan sahaja di bahagian masyarakat setempat malah merangkumi pihak pihak tertentu dalam institusi kerajaan. Sebagai contoh, pada tahun 2008, kenaikan harga minyak di mana para pengguna tersentak mengenai kenaikan harga ron 975 dan ron 97 yang begitu mendadak sehingga memberi impak yang besar dalam kehidupan seharian mereka. Kenaikan ini bukan sahaja menjejaskan golongan berpendapatan rendah malah sedikit sebanyak juga memberi kesan kepada golongan sederhana.

Apabila harga minyak petrol naik, purata pengguna akan turut merasai kesan teori domino ke atas harga barang keperluan harian dan perkhidmatan. Sejak kebelakangan ini, kenaikan harga barang keperluan termasuk petrol seolah-olah menjadi perkara biasa namun, ia membebankan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Pemilik kenderaan yang membayar RM1.85/liter untuk RON95 dan RM2.10/liter bagi RON97 sejak beberapa bulan yang lau, kini mereka perlu membayar  RM1.90 untuk RON 95 dan RM2.50 bagi RON97. Ramai pemilik kenderaan tidak begitu gemar petrol RON95 yang diberi subsidi tinggi, berikutan ia menjejaskan prestasi kenderaan sedangkan penggunaan RON97 meningkatkan perbelanjaan bulanan.

Apabila harga minyak melambung di pasaran dunia, ini secara tidak langsung memberi kesan pada harga barang runcit di pasaran Malaysia. Peningkatan harga barang runcit ini turut mengakibatkan golongan berpendapatan rendah dan sederhana terjejas. Golongan tersebut merasa beban dengan kenaikan harga barang tersebut kerana dengan taraf hidup yang makin tinggi, ini mungkin menyukarkan bagi mereka untuk menjalani kehidupan seperti biasa.

            Antara situasi lain yang berlaku di Malaysia ialah mengenai kenaikan harga minyak masak pada waktu waktu tertentu. Hal ini jelas dapat dilihat pada musim perayaan di mana harga minyak masak dijual dua hingga tiga kali ganda tinggi daripada harga yang ditetapkan oleh kerajaan. Perkara ini sama sekali telah menyalahi hak kepenggunaan di Malaysia. Minyak masak merupakan salah satu barang kawalan di Malaysia. Dari sudut undang undang, kenaikan harga yang melebihi harga siling secara terang terangan telah menjadi satu kesalahan.

Antara barangan runcit lain yang turut sama menghadapi situasi yang sama  adalah gula. Gula juga merupakan antara barangan runcit yang sering menghadapi kenaikan harga yang mendadak disebabkan beberapa faktor. Antaranya ialah kes penyeludupan ke sempadan negara dan kes penyembunyian stok gula bagi memastikan gula itu dapat dijual pada kadar yang tinggi.

Pengguna seharusnya memahami peranan badan badan tertentu yang melindungi hak mereka. Sekiranya berlaku perkara sedemikian, sepatutnya pengguna mengambil langkah yang terbaik iaitu melaporkan penjualan barang barang kawalan pada harga yang tinggi kepada pihak berwajib. Namun situasi masyarakat yang merelakan diri mereka menjadi mangsa keadaan menyebabkan masalah ini menemui jalan buntu.

Antara akta yang telah diwujudkan oleh pihak kerajaan bagi melindungi hak pengguna adalah Akta Pelindungan Pengguna1999, satu akta untuk mengadakan peruntukan bagi pelindungan pengguna, penubuhan Majlis Penasihat Pengguna Negara dan Tribunal Tuntutan
Pengguna, dan bagi perkara perkara yang berkaitan dengannya. Undang undang ini sama sekali telah meliputi hak kepenggunaan secara keseluruhannya.

Adalah menjadi satu tanggungjawab kepada rakyat Malaysia untuk memanfaatkan undang undang ini agar setiap episod duka yang melanda proses jual beli di Malaysia menemui titik noktah. Namun berbanding tahun tahun kebelakangan ini, tahap kesedaran masyarakat mengenai kepentingan dan hak mereka kian ketara secara berperingkat. Usaha yang dijalankan oleh pihak kerajaan kian menampakkan hasil dan impak yang positif.

           Antara contoh kes yang mendapat pembelaan dari sudut undang undang ialah plaintif yang diwakili oleh En. Siput Amin Ahmad dan defenden yang diwakili oleh Digital Infotech. En. Siput Amin mendakwa pihak Digital Infotech telah merosakkan komputer riba yang dihantarnya ke kedai itu pada 5 April yang lalu dan turut mendakwa bahawa Digital Infotech cuba menipu dirinya dengan memberikan pelbagai alasan untuk tidak membayar ganti rugi di atas kerosakan berlaku.

           Walau bagaimanapun, Digital Infotech yang diwakili pekerjanya iaitu Mohammad, memberikan keterangan balas bahawa pihak Digital Infotech menyedari kesalahan mereka dan bertanggungjawab membuat ganti rugi dengan menyediakan tiga pilihan tawaran kepada Siput Amin sebagai ganti rugi terhadap kerosakan komputer riba tersebut tetapi ditolak.

         Tawaran pertama adalah, Digital Infotech akan membayar ganti rugi sebanyak RM 250. Manakala tawaran kedua pula adalah Digital menjual  sebuah komputer riba terpakai kepada Siput Amin dengan harga yang murah dengan bayaran RM 400. Tawaran terakhir adalah, Siput Amin terpaksa menunggu alat ganti komputer riba itu dalam tempoh yang lama sebelum dapat dibaiki.

          Presiden Mahkamah TTPM Labuan Reihana Abd Razak, telah menangguhkan perbicaraan selama 10 minit bagi memberi laluan kepada Mohammad dan En. Siput Amin berbincang bagi mencari jalan penyelesaian. Dalam perbincangan 10 minit itu, En. Siput Amin telah mengambil tawaran kedua iaitu menerima komputer riba terpakai dengan bayaran RM 400.

           Apabila dirujuk kepada fakta kes tersebut, ternyata hak kepenggunaan di Malaysia mempunyai tempat dari sudut perundangan. Seharusnya rakyat Malaysia harus peka dengan perkara tersebut. Berbanding dengan negara negara lain terutamanya di benua eropah, tahap kesedaran rakyat Malaysia masih di tahap yang rendah. Sekiranya semua pihak sama ada badan badan bukan kerajaan, badan kerajaan dan rakyat Malaysia sendiri berganding bahu mengatasi masalah ini, isu isu seperti kenaikan harga barang yang melampau, penipuan dalam urusan jual beli dan sebagainya dapat diatasi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan